Jokowi digesa pecat menteri sibuk berkempen - Utusan Malaysia

Jokowi digesa pecat menteri sibuk berkempen

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) digesa untuk memecat mana-mana menteri yang sibuk berkempen sehingga lupa tugas hakiki mereka di kementerian masing-masing.

Perkara itu disuarakan oleh penganalisis politik dan komunikasi, Jamiluddin Ritonga yang mendedahkan beberapa menteri Kabinet pentadbiran pemimpin itu dikesan berkempen untuk Pilihan Raya Presiden 2024 (Pilpres 2024).

Memetik laporan Wartaekonomi.co.id, Jamiluddin berpandangan menteri-menteri yang menumpukan perhatian kepada kempen politik perlu meletakkan jawatan.  

Katanya, hal demikian kerana tindakan berkempen semasa melaksanakan tugas sebagai menteri sudah tentu akan mengganggu prestasi kerajaan.

“Fokus menteri tidak akan tertumpu lagi dalam menjalankan tugas hakiki mereka.

“Sepatutnya mereka perlu dahulukan kerja hakiki untuk kesejahteraan rakyat,” katanya   

Jamiluddin menegaskan setiap menteri dalam kerajaan perlu fokus menjalankan tugas hakiki mereka terlebih dahulu.

“Jadi, jangan hairan sekiranya prestasi menteri yang mula sibuk berkempen diragui oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Jamiluddin juga menyifatkan tindakan menteri berkenaan hanya akan merugikan rakyat.

“Mereka dibayar gaji guna duit rakyat, oleh itu tidak wajar untuk menjalankan aktiviti lain seperti berkempen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, menteri berkenaan juga akan mengalami kesukaran untuk mengasingkan penggunaan dana dan kemudahan, baik semasa berkhidmat sebagai menteri mahupun ketika berkempen.

Katanya, keadaan itu sudah tentu boleh mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya