ANKARA: Turki bertegas dengan keputusan membantah penyertaan Sweden dan Finland menjadi sebahagian negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sehubungan itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan menggesa semua sekutu NATO supaya menghormati pendirian Turki berhubung kedua-dua negara tersebut.
“Satu-satunya harapan kami dari semua sekutu NATO adalah memahami sensitiviti kami, menghormati dan menyokongnya,” kata Erdogan kepada ahli partinya di Parlimen.
Kelmarin, Finland dan Sweden mengemukakan permohonan bersama untuk menyertai NATO ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine memaksa penilaian semula terhadap keselamatan di Eropah.
Erdogan mendakwa Stockholm menyediakan ‘tempat perlindungan selamat’ kepada anggota kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu
Barat.
“Kami meminta mereka mengekstradisi 33 individu dikaitkan dengan kumpulan itu namun mereka enggan berbuat demikian.
“Anda tidak akan menghantar pulang individu tersebut, tetapi meminta sokongan kami untuk keahlian NATO anda.
“Kami tidak boleh menyatakan ‘ya’ untuk menjejaskan organisasi keselamatan ini,” katanya.
Dilaporkan, Sweden juga mengenakan larangan penjualan senjata ke Turki sejak 2019 susulan pencerobohan Ankara di Syria.
“Kami peka dalam melindungi sempadan negara daripada sebarang serangan organisasi pengganas,” katanya.
Erdogan juga menggesa sekutu NATO supaya menyokong operasi Turki yang sah di Syria atau sekurang-kurangnya tidak menghalang mereka.
Selain itu, pemimpin itu juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan permintaan delegasi Sweden dan Finland yang mahu mengunjungi Ankara untuk berunding.
“Mereka mahu datang pada Isnin depan. Saya rasa mereka tidak perlu berbuat demikian,” katanya.
PROSES SERTAI NATO
Sementara itu, pensyarah kanan jurusan Keselamatan Eropah di Universiti Aberystwyth, Alistair Shepherd berpandangan proses keahlian untuk Sweden dan Finland adalah agak mudah.
“Kedua-dua negara memenuhi keperluan politik, ketenteraan dan ekonomi.
“Sweden dan Finland adalah negara demokrasi yang mempunyai kelayakan yang sangat baik dan kedua-duanya juga memiliki keupayaan ketenteraan canggih yang sudah saling beroperasi dengan piawaian NATO.
“Malah, negara tersebut turut mempunyai sumber untuk menyumbang kepada belanjawan NATO. Kesimpulannya, Sweden dan Finland dilihat sebagai nilai tambah kepada NATO dan keselamatannya,” katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.
Memetik laporan Associated Press (AP), seorang pegawai NATO mendakwa proses keahlian Sweden dan Finland mungkin mengambil masa beberapa minggu sahaja.
Namun, timbul keraguan sama ada garis masa itu boleh dilaksanakan memandangkan terdapat banyak formaliti yang terlibat.
Shepherd berpendapat, proses itu akan mengambil masa beberapa bulan.
“NATO sebagai sebuah institusi akan menerima permohonan mereka di sidang kemuncak pada akhir Jun di Madrid.
“Namun, setiap negara anggota NATO sedia ada harus merati kasi permohonan keahlian Sweden dan Finland.
“Proses ini akan mengambil sedikit masa dan bergantung kepada peraturan di setiap negara anggota, ia berkemungkinan paling awal iaitu lewat 2022 apabila semua perkara selesai,” katanya. – AFP/AGENSI










