Harga gandum meningkat di Asia Tenggara

Harga gandum meningkat di Asia Tenggara

PENGUNJUNG menikmati hidangan makanan di pusat penjaja Maxwell, Singapura.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Krisis harga makanan global sejak pertengahan 2020 selepas serangan wabak Covid-19 menimbulkan gangguan terhadap rantaian bekalan sehingga menyebabkan harga bekalan asas seperti tepung dan minyak meningkat. 

Situasi tersebut malah bertambah buruk selepas pencerobohan tentera Russia di Ukraine, 24 Februari lalu, lapor South China Morning Post.  

Agensi Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan harga makanan menyaksikan peningkatan sejak Februari hingga Mac lalu.

Rusia dan Ukraine sendiri menyumbang hampir satu pertiga daripada bekalan gandum dan barli di peringkat global, serta dua pertiga daripada eksport minyak bunga matahari yang digunakan untuk memasak. 

Bank Dunia meramalkan harga gandum boleh meningkat lebih 40 peratus tahun ini. 

Negara paling teruk terjejas adalah negara yang menghadapi krisis makanan seperti Afghanistan dan Yemen, termasuk pengimport utama gandum dari Ukraine dan Rusia. 

Gandum adalah antara bahan utama yang digunakan dalam beberapa hidangan makanan tradisional di negara Asia seperti roti naan, mi, piza, pasta, biskut termasuk pembungkus ladu di China. 

SINGAPURA TERKESAN  

Singapura antara negara di Asia Tenggara yang terjejas akibat krisis makanan global itu.   

Buat pertama kali dalam tempoh enam tahun, Leong Poh Yee terpaksa menaikkan harga hidangan ban mian sebanyak 10 sen yang dijual di gerai penjaja di Singapura. 

Katanya, kenaikan harga bermula Januari lalu disebabkan peningkatan kos tepung gandum, minyak serta bekalan elektrik yang terpaksa ditanggung. 

“Harga tepung meningkat hampir 15 peratus yang jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu. 

“Ini menyebabkan saya terpaksa menaikkkan harga hidangan dan sudah tentu pelanggan tidak gembira, namun tiada apa yang saya boleh lakukan.

“Kami perlu mencari pendapatan untuk hidup dan tidak mempunyai pilihan lain,” katanya. 

Poh Yee menghasilkan hidangan popular dari China yang dihiasi dengan daging cincang dan ikan bilis.

Wanita berusia 47 tahun itu menghasilkan mi daripada tepung gandum dengan tangannya sendiri.

Ban Mian kini dijual dengan harga lima dolar Singapura (RM15.70).  

Peniaga itu berharap perniagaannya tetap meriah dikunjungi pengunjung supaya dia boleh menyerap sebarang kos tambahan tanpa perlu menaikkan harga hidangan lagi. 

THAILAND, VIETNAM TURUT TERJEJAS 

Rakan Kongsi KPMG di Singapura, Paul Kent berkata, pengimport bersih gandum Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand dan Vietnam akan lebih terdedah dengan kenaikan harga. 

Jelasnya, harga produk yang mengandungi gandum seperti mi dan bijirin dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

“Negara pengimport makanan di Asia dan tempat lain terutamanya negara berpendapatan renda akan terdedah kenaikan harga. 

“Walaupun beberapa perniagaan lebih besar akan dapat mengimbangi kenaikan kos buat sementara waktu, namun pengguna juga akan tersepit,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya