WASHINGTON: Pemimpin seluruh dunia mengecam tindakan terkutuk Israel membunuh seorang wartawan disegani, Shireen Abu Akleh di Tebing Barat, kelmarin.
Satu penyiasatan bebas dan telus dituntut bagi mengheret pelaku bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Shireen, 51, merupakan wartawan senior yang disifatkan sebagai ‘Ikon Liputan Palestin’ meninggal dunia semasa membuat liputan di khemah pelarian, Jenin.
Kematian itu mencetuskan kemarahan global dan seluruh dunia termasuk Iran, Belgium, United Kingdom (UK), Afghanistan dan Pakistan yang menuntut penyiasatan ‘bebas’ dijalankan segera.
PBB
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Linda Thomas-Greenfield menyifatkan kematian wartawan itu sebagai ‘mengerikan’ dan menggesa siasatan bebas dijalankan.
Jelasnya, melindungi rakyat AS dan golongan wartawan adalah ‘keutamaan sepenuhnya’.
“Saya sangat menghormati Shireen kerana dia pernah menemu bual saya di Tebing Barat, November lalu,” katanya.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB turut menggesa ‘penyiasatan bebas dan telus terhadap pembunuhannya’ dilakukan.
AS
White House juga menggesa penyiasatan menyeluruh segera dan mencari individu bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan wartawan itu kerana kematiannya adalah penghinaan terhadap kebebasan media.
Duta AS ke Israel, Tom Nides menerusi ciapan Twitter turut menzahirkan kesedihan mengenai kematian wartawan tersebut.
EU
Jurucakap EU di Asia Barat dan Afrika Utara, Luis Miguel Bueno berkata, dia terkejut dengan pembunuhan Shireen ketika dia menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan di Jenin.
“Kami berasa simpati kepada ahli keluarga mangsa dan penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
CHINA
Jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lijian turut terkesan dengan serangan ganas terhadap wartawan yang sedang bertugas.
“Kami harap insiden tersebut diadili berdasarkan undang-undang dan keadilan,” katanya.
QATAR
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim al-Thani menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan rangkaian media Al-Jazeera.
“Ini adalah jenayah mengerikan di Palestin ketika rakyatnya tidak bersenjata. Jangan ada sebarang double standard,” katanya.
Timbalan Menteri Luar Qatar, Lolwah Alkhater menggesa hubungan dengan Israel dihentikan serta-merta terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan.
KESATUAN WARTAWAN NASIONAL
Kesatuan yang mewakili wartawan di UK dan Ireland menerusi kenyataan menggesa penyiasatan yang adil terhadap individu yang membunuh wartawan tersebut.
“Kesatuan Wartawan Nasional dan Kesatuan Wartawan Antarabangsa mengutuk serangan terhadap wartawan Palestin di Israel dan tindakan mesti diambil oleh pihak berkuasa Israel bagi memastikan keselamatan dan melindungi golongan wartawan di negara itu,” katanya.