Covid-19: Afrika Selatan dijangka berdepan gelombang kelima - Utusan Malaysia

Covid-19: Afrika Selatan dijangka berdepan gelombang kelima

SEORANG penduduk menerima suntikan vaksin di sebuah pusat vaksinasi di Dewan Kopanong di Soweto, Johnnesburg, Afrika Selatan. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Afrika Selatan dijangka memasuki gelombang kelima Covid-19 lebih awal daripada jangkaan selepas peningkatan berterusan dalam jangkitan sepanjang 14 hari lalu.

Menurut pegawai kesihatan dan saintis, perkara itu didorong oleh subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron.

Negara itu, yang pernah mencatatkan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 paling tinggi di benua Afrika, dilaporkan keluar daripada gelombang keempat pada awal tahun ini.

Pihak berkuasa meramalkan gelombang kelima Covid-19 mungkin bermula pada bulan depan atau Jun, awal musim sejuk hemisfera selatan.

Menteri Kesihatan, Joe Phaahla dalam satu taklimat media berkata, setakat ini tiada perubahan drastik dalam jumlah kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) atau kematian meskipun bilangan kemasukan ke hospital semakin meningkat, 

Katanya, pada peringkat ini pihak berkuasa kesihatan masih belum dimaklumkan mengenai sebarang varian baharu selain perubahan kepada varian dominan, Omicron.

Varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Botswana pada November tahun lalu sebelum menular di seluruh dunia.

Afrika Selatan melaporkan lebih 3.7 juta kes Covid-19 dan lebih 100,000 kematian sejak permulaan pandemik Covid-19. 

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit, Richard Lessells berkata, imuniti yang berkurangan daripada gelombang sebelum ini boleh menyumbang kepada kemunculan semula kes lebih awal daripada dijangkakan.

Katanya, peningkatan jangkitan dikaitkan dengan sub-keturunan BA.4 dan BA.5 Omicron turut menunjukkan ia mempunyai kelebihan pertumbuhan berbanding sub-varian Omicron lain seperti BA.2.

Namun, pakar kesihatan awam, Wassila Jassat dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan memaklumkan tiada tanda BA.4 dan BA.5 menyebabkan penyakit jauh lebih teruk walaupun kes semakin meningkat. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya