fbpx

Cacar monyet: WHO tidak galak vaksinasi besar-besaran

GAMBAR yang diambil oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit pada 1997 semasa siasatan mengenai penularan cacar monyet di Republik Demokratik Congo. - AFP

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak melihat keperluan untuk melaksanakan vaksin secara besar-besaran bagi membendung penularan penyakit cacar monyet yang merebak di luar negara Afrika. 

Sebaliknya, Richard Pebody yang mengetuai pasukan patogen ancaman tinggi di WHO Eropah, yakin penyakit itu dapat dikawal dengan mengamalkan kebersihan dan tabiat seks yang selamat. 

Jelasnya, bekalan vaksin dan antivirus juga adalah sangat terhad. 

“Langkah utama untuk mengawal penularan penyakit itu adalah dengan mengenal pasti kontak rapat dan pengasingan diri. 

“Ini kerana virus itu tidak boleh merebak dengan mudah serta tidak menyebabkan penyakit serius. Vaksin yang digunakan untuk merawat cacar monyet boleh menyebabkan kesan sampingan,” katanya. 

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat yang memaklumkan pihaknya dalam proses untuk mengeluarkan vaksin Jynneos bagi merawat penyakit cacar monyet. 

Kerajaan Jerman pula memaklumkan negara itu berusaha mendapatkan vaksin dan Britain menawarkan beberapa vaksin kepada petugas kesihatan di negara itu. 

Pihak berkuasa kesihatan di Eropah dan Amerika Utara sedang menyiasat lebih 100 kes positif dan disyaki di seluruh dunia. 

Sementara itu, pegawai kanan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih meneliti punca penularan virus itu. 

Saintis berusaha memahami asal usul cacar monyet dan tiada bukti menunjukkan virus itu bermutasi. 

Sebelum ini, WHO mendedahkan penularan virus itu berpunca akibat aktiviti seks bebas antara golongan gay melibatkan lelaki dengan lelaki.

Virus itu boleh merebak melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah, cecair badan atau luka haiwan yang dijangkiti.

Malah, virus juga boleh berjangkit melalui titisan pernafasan apabila terdapat kontak bersemuka yang berpanjangan serta objek yang tercemar virus seperti tempat tidur dan pakaian. –REUTERS  

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN