KYIV: Ukraine mendakwa polis menemukan 1,202 mayat warga negaranya di sekitar kawasan di Kyiv.
Memetik laporan agensi berita Ukrinform, Ukraine turut mendakwa mangsa berkenaan dibunuh oleh tentera Russia.
“Malangnya, terdapat penemuan mengerikan malah kami juga merekodkan jenayah yang dilakukan oleh tentera Russia di wilayah Kyiv hampir setiap hari.
“Setakat ini, kesemua 1,202 mayat orang awam sudah diserahkan kepada jabatan forensik untuk menentukan punca kematian mereka.
“Daripada jumlah tersebut, identiti 280 mayat masih belum dikenal pasti,” kata ketua polis wilayah Kyiv, Andriy Nebytov.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan, Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boychenko mendakwa lebih 200 penduduk masih terperangkap bersama tentera di kilang keluli di bandar itu.
Menurut Boychenko, kira-kira 100,000 orang awam masih berada di bandar pelabuhan itu yang dikepung oleh tentera Russia.
Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi satu video ucapan memaklumkan seramai 100 orang awam berjaya dipindahkan dari kilang Azovstal.
Sebelum ini, media Russia melaporkan lebih 500 penduduk masih berada di kilang keluli itu.