10 maut insiden tembakan rambang di pasar raya AS - Utusan Malaysia

10 maut insiden tembakan rambang di pasar raya AS

POLIS berada di lokasi kejadian susulan insiden tembakan di sebuah pasar raya di Buffalo, New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang lelaki yang lengkap berpakaian tentera melakukan penstriman langsung sambil melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai di sebuah pasar raya di Buffalo, New York. 

Polis mengesahkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan tiga cedera dalam insiden tembakan di Tops Friendly Market.

Katanya, 11 daripada mangsa kejadian itu merupakan warga Afrika-Amerika. 

“Seramai 10 orang maut akibat ditembak oleh lelaki dilengkapi senjata dan memakai helmet serta peralatan taktikal. Tiga lagi cedera termasuk dua dalam keadaan parah,” jelas laporan The Buffalo News yang memetik kenyataan pegawai polis di lokasi kejadian. 

Memetik laporan agensi berita Associated Press, seorang pegawai polis memaklumkan buat masa ini, siasatan kes masih di peringkat awal dan pihak berkuasa belum mengesan motif yang jelas.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat sedang menyiasat sama ada insiden tembakan itu bermotifkan sentimen perkauman.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Buffalo, Joseph Gramaglia mengesahkan suspek kulit putih, Payton Gendron ditahan selepas insiden tersebut.

Katanya, suspek berusia 18 tahun itu menembak empat orang di kawasan parkir pasar raya yang mana tiga mangsa maut, sebelum masuk ke dalam premis dan melepaskan tembakan.

Antara mangsa terkorban di dalam pasar raya itu merupakan seorang pesara polis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersenjata.      

Menurut Gramaglia, pengawal keselamatan itu melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek, namun lelaki itu yang memakai perisai badan itu menembak pengawal keselamatan.

“Apabila polis tiba, suspek mengacukan pistol ke leher sendiri namun berjaya dipujuk dan menyerah diri,” katanya. 

Sementara itu, ejen khas yang mengendalikan pejabat lapangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Buffalo, Stephen Belongia berkata, serangan terbabit disiasat sebagai kes jenayah kebencian.

Peguam daerah untuk wilayah Erie, John Flynn berkata, suspek dihadapkan ke muka pengadilan atas pertuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, jika sabit kesalahan. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya