KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai di negaranya.
Dakwaan itu dibuat ketika pemimpin Barat mengecam gambar yang tular memaparkan mayat penduduk Ukraine bergelimpangan di sekitar jalanan di sebuah bandar yang musnah teruk akibat serangan tentera Rusia.
“Sudah tentu, ia adalah pembunuhan beramai-ramai. Kemusnahan seluruh negara dan rakyatnya.
“Kami adalah rakyat Ukraine dan kami tidak mahu tunduk kepada dasar Persekutuan Rusia.
“Inilah sebabnya, kami dimusnahkan,”kata Zelensky menerusi temubual rancangan Face the Nation di stesen televisyen CBS.
Kenyataan itu dikeluarkan Zelensky, sehari selepas tentera Ukraine berpindah ke bandar Bucha berhampiran Kyiv dan menemukan mayat orang awam yang didakwa dibunuh tentera Rusia.
Ukraine menuduh tentera Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai di Bucha.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan dakwaan negara itu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyifatkan rakaman dan gambar yang memaparkan mayat bergelimpangan di Bucha, merupakan satu lagi provokasi dilakukan oleh kerajaan Ukraine.
Kementerian Pertahanan menegaskan tiada mana-mana penduduk mengalami tindakan kekerasan daripada tentera Rusia di Bucha. – AGENSI