JAKARTA: Timbalan Menteri Agama Indonesia, Zainut Tauhid meminta seluruh umat Islam di negara ini supaya tidak memperdebatkan perbezaan tarikh mula berpuasa dalam bulan Ramadan tahun ini.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai, khususnya umat Islam supaya tidak mempersoalkan perbezaan tarikh mula berpuasa.
“Sebaliknya, kita perlu menerima perbezaan itu dengan rasa hormat, tolak ansur dan bijak supaya tidak mencetuskan kekecohan yang boleh menimbulkan huru-hara dalam kalangan rakyat,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Beliau juga meminta supaya isu tersebut tidak dijadikan polemik berpanjangan.
“Perbezaan ini sering terjadi dan saya yakin umat Islam di Indonesia tidak akan mudah berpecah dan mengganggu keharmonian bersama,” ujarnya.
Pihak berkuasa Indonesia menetapkan tarikh mula berpuasa bagi umat Islam di negara ini adalah pada esok, 3 April 2022.
Bagaimanapun, penetapan itu berbeza dengan Pimpinan Pusat Muhammadiyah yang mengumumkan 1 Ramadan 1443 Hijrah bermula hari ini.