KUALA LUMPUR: Jumlah kemalangan maut membabitkan kenderaan berat mencatatkan penurunan memberangsangkan sepanjang tahun lalu hasil penguatkuasaan lebih berkesan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, data awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 163 kes kemalangan maut membabitkan kenderaan berat direkodkan tahun lalu, menurun berbanding 260 kes pada 2024 dan 232 kes pada 2023.
“Statistik ini merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat. Ia diambil kira tanpa mengira sama ada kenderaan terbabit menjadi punca utama atau sekadar terlibat dalam kemalangan.
“Penurunan ini memberi gambaran awal langkah penguatkuasaan terhadap pematuhan keselamatan kenderaan berat termasuk kawalan muatan, menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan maut di jalan raya, selaras dengan objektif kerajaan untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai jumlah kenderaan berat telah diambil tindakan kerana melebihi muatan semasa operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada suku keempat 2025 dan julat peratusan melebihi paras muatan dibenarkan direkodkan dalam tempoh operasi ini.
Siew Fook berkata, sebanyak 3,604 kenderaan berat dikesan dan diambil tindakan kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan melalui operasi khas JPJ dari 14 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 1,731 kenderaan kategori berat dengan muatan 7.5 tan ke bawah diambil tindakan, 1,193 kenderaan kategori 7.5 hingga 32 tan, manakala 680 kenderaan pula membabitkan muatan 32 tan ke atas.
“Data ini menunjukkan sebahagian besar kes membabitkan lebihan muatan pada tahap serius, yang berpotensi menjejaskan keselamatan jalan raya, kestabilan kenderaan, fungsi brek serta ketahanan infrastruktur jalan.
“Sepanjang tahun ini, kementerian akan menambah baik penguatkuasaan dengan memastikan ia tidak dilakukan secara bermusim, selain mempertingkatkan kaedah dan teknologi bagi memantau serta meningkatkan kompetensi pemandu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kaedah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) akan dirombak semula supaya lebih berkesan.
Katanya, pelaksanaan sistem High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) akan dimulakan di dua lokasi dalam masa terdekat untuk memperkukuh penguatkuasaan muatan kenderaan berat. – UTUSAN







