PETALING JAYA: IJM Corporation Bhd. komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan membabitkan dakwaan salah laku tadbir urus korporat dan aset luar negara.
Bagaimanapun, konglomerat korporat itu menolak sebarang dakwaan salah laku yang terkait dengannya ketika ini.
IJM Corporation Bhd. dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan telah bertemu pegawai SPRM dan memberikan kerjasama penuh dalam proses berkenaan.
Katanya, beberapa kakitangan lain yang diminta untuk memberikan maklumat turut memberi kerjasama sepenuhnya sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
“Pengerusi kami, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai SPRM petang ini dan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, individu yang dirujuk dalam beberapa laporan media sebagai ‘penasihat syarikat’ sebelum ini telah dilantik secara profesional untuk menyediakan perkhidmatan nasihat untuk sejumlah terhad transaksi korporat.
Bagaimanapun, katanya, individu tersebut tidak memegang sebarang peranan sebagai penasihat kepada syarikat pada masa ini.
“IJM dan syarikat sekutunya di United Kingdom (UK) tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Pejabat Penipuan Serius (SFO) di UK.
“IJM dan syarikat sekutunya juga tidak pernah dihubungi oleh SFO dan sebarang laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat,” katanya.
Pada masa sama, syarikat tersebut turut menafikan sebarang dakwaan pengubahan wang haram.
“Sejak 2012, pelaburan IJM di UK telah dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan di Malaysia dan seterusnya disalurkan kepada syarikat tujuan khas projek berkaitan di UK.
“Semua pelaburan tersebut telah melalui proses penilaian perniagaan, pengurusan risiko dan tadbir utus dalaman syarikat yang ditetapkan,” katanya.
Justeru, IJM berkata, pihaknya kekal komited untuk menegakkan standard tertinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti.
“Operasi perniagaan berjalan seperti biasa. Sebarang perkembangan akan diumumkan melalui Bursa Malaysia selaras dengan keperluan pendedahan isu berkaitan,” katanya. – UTUSAN










