KYIV: Ukraine berharap dapat menghantar sebanyak 90 buah bas ke Mariupol untuk membantu memindahkan kira-kira 6,000 penduduk dari bandar tersebut.
Lapor Al Jazeera, Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko berkata, jumlah itu membabitkan golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Boichenko yang kini sudah meninggalkan Mariupol berharap agar perjanjian awal dengan Rusia untuk mewujudkan koridor selamat bagi membolehkan proses pemindahan penduduk, akan dilaksanakan tanpa sebarang halangan.
Beliau berkata, kira-kira 100,000 orang awam masih berada di bandar Mariupol.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Ukraine mencapai perjanjian awal dengan Rusia dalam mewujudkan koridor kemanusiaan bagi membolehkan proses pemindahan penduduk dari Mariupol.
Dalam pada itu, Boichenko mendakwa puluhan ribu orang terkorban di bandar pelabuhan strategik di Laut Azov.
Sementara itu, AFP melaporkan kumpulan pemisah di Donetsk menyatakan lebih 140 orang awam dan lima tentera Ukraine telah dipindahkan dari bandar Mariupol yang dikepung.
Pemindahan itu berlaku ketika Moscow mempergiatkan serangannya di timur Ukraine.
“Lima tentera Ukraine meletakkan senjata dan secara sukarela meninggalkan wilayah loji Azovstal,” katanya menerusi Telegram.
Dalam satu lagi hantaran berasingan, kumpulan pemisah turut memaklumkan lebih 140 orang berjaya dipindahkan dari bandar yang musnah akibat serangan itu. – AGENSI/AFP










