KARACHI: Sehingga kini, tiada mana-mana Perdana Menteri Pakistan yang berjaya melengkapkan tempoh pentadbiran bagi lima tahun dalam sejarah 75 tahun pentadbiran negara itu.
Imran Khan merupakan Perdana Menteri yang mengikut jejak langkah seterusnya apabila gagal bertahan bagi tempoh sepenggal pentadbiran selepas hilang majoriti menerusi undi tidak percaya di Parlimen, kelmarin.
Sejak 1947, Pakistan sudah mempunyai 29 perdana menteri dengan rekod 18 kali pemimpin negara digulingkan atas alasan berbeza termasuk tuduhan rasuah, rampasan kuasa tentera secara langsung dan peletakan jawatan secara paksa akibat pergaduhan dalam kumpulan pemerintah.
Pakistan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen juga pernah merekodkan kes pembunuhan melibatkan Perdana Menteri, Benazir Bhutto, 2007.
Perdana menteri yang selebihnya memegang jawatan itu dalam tempoh masa yang terhad bagi mengawasi perjalanan pilihan raya baharu.
Pakistan pernah merekodkan lima kali perubahan jawatan perdana menteri pada 1993.
Jawatan itu pernah disandang paling pendek hanya selama dua minggu, manakala paling lama perdana menteri yang pernah berkhidmat adalah selama empat tahun dua bulan.
IMRAN DIGULINGKAN
Tarikh 10 April merupakan detik hitam dalam hidup Imran Khan apabila pentadbirannya berkubur selepas tewas dalam undi tidak percaya di bangunan Parlimen.
Keputusan undian diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Ayaz Sadiq selepas 13 jam persidangan berlangsung.
Parti pembangkang berjaya meraih 174 undi daripada 342 ahli Parlimen yang menyokong usul undi tidak percaya.
Dalam politik semuanya tidak mustahil. Kalau hari ini kawan, esok boleh bertukar menjadi seteru politik kerana tiga undian sahaja menyebabkan Imran tersingkir.
Ini terbukti selepas Imran ditinggalkan rakan pakatan yang menuding jari terhadap dirinya kerana krisis ekonomi yang merudum dan kegagalan menunaikan janji kempennya.
Imran, 69, hanya memegang tampuk pemerintahan selama tiga tahun setengah di negara yang didiami 220 juta penduduk.
Bekas kapten pasukan kriket Pakistan itu tidak hadir semasa sesi pengundian dijalankan dan belum mengeluarkan sebarang komen.
Hanya beberapa penggubal undang-undang parti pemerintah Kerajaan hadir untuk mengundi iaitu parti Tehreek-i-Insaf atau Pergerakan Keadilan Pakistan.
Dewan Rakyat menjalankan sesi pengundian selepas Ketua Tentera negara itu, Jeneral Qamar Javed Bajwa berkata, kritikan memuncak berhubung kelewatan proses Parlimen.
LANTIK PM BAHARU
Susulan itu, Pakistan perlu melantik Perdana Menteri Baharu bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Parlimen Pakistan akan bermesyuarat untuk mengundi pemimpin baharu negara, hari ini.
Perdana menteri yang dilantik akan memegang jawatan itu sehingga Oktober 2023, sebelum pilihan raya baharu diadakan.
Shehbaz Sharif, 70, disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan itu.
“Subuh baharu telah bermula dan pakatan ini akan membina semula Pakistan,” katanya.
Sharif merupakan adik kepada Mian Muhammad Nawaz Sharif yang pernah menjadi Perdana Menteri Pakistan sebanyak tiga kali iaitu pada 1990, 1997 dan 2013.- REUTERS/AGENSI