Putin uji peluru berpandu ‘Satan II’ - Utusan Malaysia

Putin uji peluru berpandu ‘Satan II’

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua Sarmat di Kosmodrom Plesetsk, utara Russia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia melancarkan ujian peluru berpandu dikenali sebagai Satan II sekali gus memberi amaran kepada Barat di tengah-tengah konflik Moscow dengan Ukraine.

Lapor Daily Mail, peluru berpandu tersebut mampu menyerang sasaran sejauh 19,015 kilometer (km).

Malah, RS-28 Sarmat berkeupayaan nuklear itu dikatakan merupakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) jarak paling jauh dunia.

Vladimir Putin menyifatkan pelancaran itu sebagai satu ‘peristiwa besar dan penting’ untuk tentera Russia.

Presiden itu turut mendakwa senjata tersebut mampu mengatasi semua sistem pertahanan moden sedia ada.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) menyifatkan ujian pelancaran itu sebagai ‘rutin’ yang biasa dan menafikan wujudnya sebarang ancaman di peringkat global.

Satan II dilancarkan dari Kosmodrom Plesetsk di utara Russia.

Dilaporkan, kepala peledak peluru berpandu itu mencapai sasaran sejauh 5,793 km di kawasan latihan tembak Kura di Semenanjung Kamchatka.

Sekiranya lengkap bersenjata, ia boleh menghantar muatan cukup besar untuk memusnahkan kawasan sebesar negara Perancis.

Putin dalam satu ucapan disiarkan di televisyen, mengucapkan tahniah kepada tentera Russia atas pelancaran itu.

“Senjata yang benar-benar unik ini akan mengukuhkan potensi tempur angkatan tentera kita.

“Ia sudah pasti menjamin keselamatan Russia daripada ancaman luar dan membuatkan mereka berfikir dua kali sebelum menyerang negara ini,” katanya.

Jelas Putin, RS-28 Sarmat mempunyai ciri-ciri unik untuk ‘mengelak’ daripada menjadi sasaran mana-mana sistem roket anti-peluru berpandu.

Dalam pada itu, Pengarah agensi angkasa lepas Rusia, Dmitry Rogozin menyifatkan senjata tersebut ‘hadiah kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan semua pihak berkaitan `Ukro-Nazisme’.

Ukro-Nazisme merujuk kepada propaganda yang mendakwa Kyiv dikendalikan oleh neo-Nazi.

Sebelum ini, ujian awal peluru berpandu dijalankan pada 2017 dan pelancaran skala penuh pertama ditangguhkan sejak Disember tahun lalu, sebelum pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

RS-28 Sarmat dibangunkan untuk menggantikan R-38, yang diberi julukan SS-18 Satan oleh NATO.

Menurut Rogozin, Sarmat berupaya bergerak sehingga 25,744 kilometer sejam (km/j).

Malah, ia boleh mengerahkan pelbagai kepala peledak dan senjata lain ke arah sasaran pada kelajuan hipersonik sehingga menjadikannya amat sukar untuk dimusnahkan.

“Ia juga dapat melancarkan Avangard, peluru berpandu hipersonik pertama Russia, yang boleh bergerak sehingga atas atmosfera Bumi pada lebih 10 kali ganda kelajuan bunyi,” katanya.

Ketua pasukan peluru berpandu strategik Moscow, Jeneral Sergey Karakayev berikrar untuk terus membangunkan senjata hipersonik.

LEBIH UJIAN DIPERLUKAN

Sementara itu, Felo Kanan Aeroangkasa Pertahanan di Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Douglas Barrie menyifatkan pelancaran itu sebagai peristiwa penting selepas penangguhan beberapa tahun
disebabkan menghadapi isu pembiayaan dan masalah reka bentuk.

Katanya, lebih banyak ujian perlu dijalankan sebelum Russia benar-benar boleh menggunakannya sebagai menggantikan peluru berpandu SS-18 dan SS19 yang ‘melepasi tarikh jualan’.

Barrie berkata, Sarmat berupaya membawa 10 atau lebih kepala peledak dan pilihan Russia untuk melancarkan ke atas salah satu kutub bumi bakal menimbulkan cabaran kepada sistem pengesanan serta radar berasaskan satelit. – AGENSI/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya