MADRID: Polis Sepanyol giat menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik koleksi taksidermi peribadi selepas merampas lebih 1,000 haiwan diawet daripada sebuah gudang di Valencia.
Lapor Daily Mail, rampasan itu termasuk 405 haiwan dari spesies dilindungi dan sekurang-kurangnya satu spesimen yang sudah pupus.
Menurut pihak berkuasa dalam kenyataan, penemuan gading gajah, cheetah, antelop putih dan banyak lagi disifatkan sebagai spesimen haiwan terlindung diawet terbesar di Sepanyol.
Malah, ia juga antara rampasan paling besar di Eropah.
Jelas kenyataan itu, rampasan berkenaan bernilai 29 juta euro (RM133.4 juta) dan individu disiasat mungkin berdepan pertuduhan penyeludupan serta yang berkaitan dengan peraturan perlindungan flora dan fauna di bawah majlis perbandaran.
Pegawai penyiasat menemukan haiwan yang diawet itu di dua buah gudang di pinggir Betera, sebuah pekan kecil di utara bandar pantai timur Valencia.
Daripada 1,090 haiwan diawet yang ditemukan, sebanyak 405 disenaraikan dibawah spesimen dilindungi oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) mengenai perlindungan hidupan liar.
Ia termasuk scimitar oryx yang juga dikenali sebagai oryx Sahara, antelop putih yang suatu ketika dahulu pernah ditemukan di seluruh Afrika Utara.
Haiwan itu diisytiharkan sebagai spesies pupus pada tahun 2000 oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.
Penemuan itu turut menampilkan sekurang-kurangnya dua lagi spesies hampir pupus iaitu addax yang dikenali sebagai antelop screwhorn dari gurun Sahara dan harimau Bengal.
Pegawai penyiasat turut merekodkan sejumlah spesimen termasuk cheetah, harimau bintang, singa, lynx, beruang kutub, harimau kumbang kutub dan badak sumbu putih serta 198 gading besar gajah.
Operasi itu bermula pada November tahun lalu apabila pegawai penyiasat menyedari kemungkinan premis koleksi taksidermi peribadi di kawasan tersebut.