Krisis ekonomi meruncing, rakyat Sri Lanka desak presiden letak jawatan

Krisis ekonomi meruncing, rakyat Sri Lanka desak presiden letak jawatan

SRI Lanka mengisytiharkan muflis selepas tidak mampu membayar hutang luar negara yang terlalu tinggi hingga mencetuskan rusuhan rakyat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Pihak berkuasa dikerah meningkatkan kawalan keselamatan selepas ratusan peserta protes cuba meletupkan rumah Presiden, Gotabaya Rajapaksa, semalam. 

Protes turut disertai aktivis media sosial yang gagal dikenal pasti bagi menuntut Rajapaksa meletakkan jawatan. 

Peserta protes bertindak ganas selepas membakar dua bas tentera, sebuah jip polis, menyerang pegawai polis dengan batu-bata serta menghalang jalan utama ke Colombo dengan membakar tayar. 

Sebuah bas juga dibakar sehingga menghalang laluan ke kawasan perumahan Rajapaksa. 

Protes menyaksikan seorang peserta cedera parah dan lima anggota polis cedera dalam rusuhan. 

Susulan itu, seramai 45 peserta protes ditangkap pihak berkuasa.  

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan menggunakan gas pemedih mata serta meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan. 

Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan sama ada pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup atau getah bagi menyuraikan rusuhan.

Biarpun perintah berkurung ditarik balik awal pagi semalam, namun, kehadiran polis dan tentera dipertingkatkan di sekitar Colombo. 

Ketegangan itu timbul ketika Sri Lanka dilanda krisis ekonomi yang teruk seperti bekalan keperluan asas terjejas dan kenaikan harga barang dalam kemerosotan paling menyakitkan sejak kemerdekaan 1948. 

Menurut Pejabat Presiden, penunjuk perasaan mahu mewujudkan ‘Arab Spring’ seperti di Asia Barat. 

Arab Spring merujuk kepada kebangkitan rakyat menentang jenayah rasuah dan kemerosotan ekonomi yang mencengkam Asia Barat sejak sedekad lalu. 

“Protes malam Khamis lalu, diketuai oleh pasukan pelampau yang mahu mencetuskan Arab Spring bagi mewujudkan ketidakstabilan di negara ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.- AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN