ACEH UTARA: Sepanjang bulan Ramadan, anggota polis lengkap bersenjata akan ditempatkan di semua masjid di seluruh Aceh Utara.
Langkah itu dilakukan bagi menjamin keselamatan para jemaah semasa menunaikan solat tarawih.
Jurucakap polis Aceh Utara, Sudiya Karya berkata, keputusan itu dibuat oleh pihak berkuasa bagi membendung kegiatan jenayah sepanjang Ramadan, termasuk di kawasan masjid yang menjadi tumpuan ramai.
“Kita akan tempatkan anggota polis yang lengkap bersenjata di semua masjid di seluruh Aceh Utara sepanjang 30 hari Ramadan.
“Polis Aceh komited membendung kegiatan jenayah, tidak kira musim perayaan atau tidak, yang penting keselamatan masyarakat terpelihara,” katanya kepada Kompas.com.
Selain itu, Sudiya memaklumkan, kawalan keselamatan itu diperlukan kerana ketika Ramadan, masyarakat akan meluangkan lebih banyak masa di masjid untuk beribadat, terutamanya pada waktu malam.
Sehubungan itu, Sudiya turut menasihatkan para peniaga supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan.
“Apabila ramai penduduk menghabiskan masa di masjid, banyak premis perniagaan kosong atau diuruskan oleh jumlah pekerja yang terhad.
“Keadaan itu secara tidak langsung membuka peluang kepada golongan tidak bertanggungjawab melakukan jenayah,” ujarnya.
Sementara itu, kawalan keselamatan turut dilakukan di sekitar kawasan perkampungan.