BEIJING: Pihak berkuasa China membatalkan rancangan untuk membunuh semua haiwan peliharaan milik pesakit Covid-19 di kawasan tumpuan virus berikutan bantahan penduduk.
Selasa lalu, Pegawai bandar Langfang mengarahkan haiwan dalam rumah yang dimiliki oleh penduduk daerah Anci yang disahkan positif Covid-19 ‘dibunuh’ bagi mengekang penularan virus maut itu.
Namun begitu, penduduk bandar di wilayah Hubei diberikan penangguhan sehingga Rabu lalu, selepas arahan ditarik balik dan pelaksanaan dihentikan berikutan tindak balas yang diterima.
Perkhidmatan Berita China melaporkan sebarang aktiviti pembunuhan haiwan dihentikan sejak pukul 5 petang, Rabu lalu.
Beberapa kes Covid-19 yang merebak daripada manusia kepada haiwan peliharaan termasuk anjing dan kucing direkodkan, tetapi belum ada sebarang kes yang disahkan sama ada haiwan menyebarkan jangkitan semula virus kepada manusia.
Lapor Daily Mail, arahan terbaharu itu merupakan dasar sifar Covid-19 Beijing yang agresif dengan kawalan sempadan ketat, kuarantin yang panjang dan perintah berkurung bersasar.
Seorang pegawai memberitahu, penyebaran Covid-19 berjaya dikawal di bandar Jilin, namun seluruh wilayah itu masih dijangkiti virus tersebut.
Beberapa perkembangan baik direkodkan di Changchun yang merupakan ibu kota dan hab pembuatan kereta yang dikenakan perintah berkurung sejak 11 Mac lalu.
China sehingga kini masih bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19 sejak awal 2020 selepas virus maut itu melumpuhkan bandar Wuhan dan bahagian lain di wilayah Hubei.
Setakat ini, kebanyakan kes berlaku di wilayah Jilin yang bersempadan Korea Utara di kawasan perindustrian China.
Sementara itu, Shanghai yang didiami 26 juta penduduk dikenakan perintah berkurung selama lapan hari sejak minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap pasaran global dan kesan ekonomi.