Zelensky sedia adakan rundingan damai dengan Rusia - Utusan Malaysia

Zelensky sedia adakan rundingan damai dengan Rusia

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky memanggil Rusia untuk mengadakan rundingan damai secara komprehensif selepas insiden pencerobohan ke atas Ukraine.

Zelensky menyifatkan langkah itu sebagai satu-satunya peluang bagi Rusia untuk meminimumkan kerosakan dilakukan kerana kesilapan mereka sendiri selepas melakukan pencerobohan tersebut.

Malah, katanya, Rusia akan memerlukan beberapa generasi untuk pulih daripada kerugian yang dialami semasa perang.

Zelensky berkata, Ukraine sentiasa menawarkan penyelesaian untuk keamanan selain mahu rundingan yang bermakna dan jujur berhubung kedamaian dan keselamatan tanpa berlengah lagi.

“Saya mahu semua orang mendengar saya terutamanya di Moscow. Sudah tiba masanya untuk bertemu dan berbincang.

“Inilah masanya untuk memulihkan integriti wilayah dan keadilan untuk Ukraine.

“Jika tidak, kerugian ditanggung Rusia akan mengambil beberapa generasi untuk pulih,” katanya dalam satu video ucapan.

Ribuan orang terbunuh dalam pertempuran dan pengeboman sengit sejak Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan di Ukraine pada 24 Februari lalu.

Setakat ini, kedua-dua pihak sudah terlibat dalam perbincangan selama beberapa minggu namun tiada sebarang kejayaan dicapai.

Dalam pada itu, Zelensky mendakwa tentera Rusia sengaja menyekat bekalan bantuan kemanusiaan ke bandar-bandar Ukraine yang diserang.

“Ini adalah taktik disengajakan. Ini merupakan satu jenayah perang dan mereka akan dipertanggungjawabkan, 100 peratus,” katanya.

Menurut Zelensky, pihaknya masih belum memperoleh maklumat mengenai jumlah orang terkorban apabila sebuah teater di Mariupol yang dijadikan tempat perlindungan penduduk diserang.

Katanya, setakat ini, lebih 130 orang berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa menggunakan peluru berpandu hipersonik Kinzhal untuk memusnahkan sebuah tempat penyimpanan senjata di barat Ukraine.

Agensi berita RIA Novosti melaporkan senjata hipersonik Kinzhal pertama kali digunakan semasa konflik di Ukraine. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN