KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu kepada negara Barat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada aset ketenteraan.
Rayuan itu dibuat menerusi rakaman video semasa sidang kemuncak NATO di Brussels.
“Anda boleh berikan kami hanya satu peratus daripada semua aset penerbangan. Satu peratus aset ketenteraan. Hanya satu peratus!
“Kami tidak boleh membelinya begitu sahaja. Bekalan sedemikian secara langsung hanya bergantung kepada NATO dan keputusan politik.
“Kami perlukan pertahanan udara seperti sistem roket pelancar berbilang (MLRS) dan senjata antikapal. Adakah mungkin dapat bertahan dalam peperangan tanpa senjata seperti itu?” soalnya.
Sebelum ini, NATO menolak permintaan Ukraine untuk membantu melindungi ruang udara negaranya daripada pengeboman Rusia berikutan bimbang akan berlaku pertembungan langsung dengan Moscow yang boleh melanjutkan konflik lebih luas.
Zelensky sebelum ini meminta NATO mengenakan zon larangan terbang di ruang udara Ukraine yang diceroboh Rusia melalui jalan darat, laut dan udara, 24 Februari lalu.
“Pada 24 Februari lalu, saya membuat rayuan secara jelas mengenai permintaan bantuan di ruang udara.
“Tidak kisah dari segi apa bantuan sekalipun. Tolong lindungi rakyat kami dari serangan bom dan peluru berpandu Rusia.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima jawapan yang jelas. Ukraine tidak mempunyai senjata anti-peluru berpandu yang kuat,” katanya.










