KYIV: Seorang warga Britain yang terpaksa mengunjungi Ukraine untuk menyelamatkan isteri dan anaknya daripada pencerobohan Rusia, akhirnya berjaya bertemu dengan keluarganya.
Lapor Daily Mail, Ian Umney, 28, tiba di Nikopol, berhampiran Dnipro di tenggara negara dilanda perang itu, untuk bersama Nelia dan Jonanthan.
Guru berasal dari St. Helens, Merseyside, terpaksa memakai peralatan tempur untuk ke kawasan perumahannya.
Umney berkata, perkara pertama yang dilakukan adalah melindungi keluarganya di dalam rumah, di tengah-tengah kebimbangan serangan bom Rusia.
Dilaporkan, Umney berlepas dari Manchester ke Krakow di Poland sebelum ke Lviv di Ukraine.
Umney menempuh perjalanan selama 12 jam untuk ke Nikopol dengan menaiki kereta api.
Pencerobohan Moscow ke atas Ukraine memasuki hari ketujuh, dengan konvoi kereta kebal dan kenderaan berperisai semakin menghampiri ibu negara Kyiv.
Umney memuat naik video memaparkan misi menyelamat keluarganya sejak beberapa hari lalu dalam talian.
Dalam video itu, Umney menyatakan dia tidak boleh `duduk diam’ di Britain tanpa melakukan sebarang usaha untuk menyelamatkan isteri dan anaknya.
Video tersebut mendapat jutaan tontonan di media sosial dengan rata-rata warganet menggelar Umney sebagai hero.