SYDNEY: Australia memaklumkan negara ini memulakan tindakan undang-undang bersama Belanda terhadap Rusia berhubung tragedi pesawat Malaysia Airliens, MH17 yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.
Tindakan itu akan difailkan menerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang menyaksikan Rusia didakwa bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa membabitkan nahas pesawat berkenaan.
Tindakan itu juga dilihat sebagai membela kematian kesemua 298 penumpang pesawat tersebut, termasuk 38 rakyat Australia.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Menteri Luar, Marise Payne hari ini.
Tindakan bersama di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa itu berasingan dengan perbicaraan kes yang diterajui oleh Belanda terhadap empat suspek.
Empat suspek tersebut didakwa menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kejadian itu berlaku di ruang udara timur yang dikuasai pemisah pro-Rusia.
Menurut pasukan penyiasat dan pendakwa raya antarabangsa, pesawat itu ditembak peluru berpandu buatan Rusia yang dilancarkan dari darat.
Moscow sehingga kini menafikan penglibatan dalam nahas tersebut. – REUTERS