Tiada keperluan mendesak tangguh Pemilu 2024

Tiada keperluan mendesak tangguh Pemilu 2024

pemilu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Parti Keadilan Sejahtera (PKS) menegaskan tiada keperluan mendesak yang memerlukan Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia 2024 ditangguhkan.  

Malah, jurucakap PKS, Muhammad Kholid berkata, penangguhan itu bercanggah dengan Perlembagaan sedia ada.

Menurut Muhammad Kholid, beliau percaya kerajaan mampu mengadakan pilihan raya sepertimana dijadualkan pada 2024.

“Tiada keperluan mendesak yang memaksa negara ini mengubah Perlembagaan atau usaha-usaha di luar konsensus sehingga Pemilu harus ditangguhkan,” katanya kepada CNN Indonesia.  

Jelas Muhammad Kholid, sekiranya pilihan raya umum ditangguhkan, maka ia bakal mencemarkan imej demokrasi Indonesia.

“Perlembagaan mewajibkan negara mengadakan pilihan raya setiap lima tahun, jadi kita harus patuh dengan konsensus itu,” katanya.

Beliau berpandangan sebarang usaha untuk mengubah perjanjian yang termaktub dalam Perlembagaan hanya akan mencetuskan pergolakan sosial dan politik di Indonesia.

Cadangan menangguhkan pilihan raya umum diutarakan oleh Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Muhaimin Iskandar.

Menurut Muhaimin, penangguhan itu penting untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan aibat pandemik Covid-19.     

Sementara itu, Ketua Dewan Pimpinan Pusat Parti Gerindra, Sufmi Dasco Ahmad berkata, pihaknya masih mengkaji cadangan penangguhan Pemilu 2024.

Katanya, setakat ini, tiada perbincangan berkaitan penangguhan pilihan raya umum itu dilakukan di peringkat tertinggi parti.      

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN