KUALA NERUS: Bermula secara kecil-kecilan sejak lebih tiga dekad lalu, seorang warga emas dari Kampung Padang Polis, Batu Rakit di sini, terus cekal meneruskan perniagaan tradisional opok-opok sehingga mampu menghasilkan kira-kira 25,000 keping sebulan bagi memenuhi keperluan jualannya.
Opok-opok adalah antara sajian tradisi makanan Terengganu diperbuat daripada beras pulut yang semakin jarang ditemukan.
Pengusaha opok-opok, Rahimah Sulung, 75, berkata, dia menceburi bidang tersebut sejak 35 tahun lalu, sekali gus menjadikannya sumber pendapatan utama keluarganya.
Katanya, proses pembuatan opok-opok perlu dirancang rapi terutama ketika musim hujan dan tengkujuh kerana cuaca tidak mengizinkan proses penjemuran dilakukan.
“Biasanya sebelum musim tengkujuh, kami buat stok lebih banyak. Opok-opok perlu dijemur sehingga benar-benar kering kerana jika tidak, ia mudah berkulat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Rahimah berkata, opok-opok yang dijemur sempurna boleh tahan sehingga lima bulan yang mana opok-opok mentah dijual pada harga RM1 sekeping dan telah digoreng pula RM5 untuk tiga keping.
Katanya, proses pembuatan bermula dengan merendam beras pulut diikuti proses mengukus selama kira-kira sejam bagi setiap dua kilogram sebelum dikisar menggunakan mesin, diuli dan diletakkan ke dalam talam.
“Adunan ditarik sehingga kembang sebelum dibentuk menjadi kepingan opok-opok,” katanya.
Dalam sehari, kira-kira 10 hingga 20 kilogram beras pulut digunakan untuk menghasilkan 1,200 keping opok-opok dengan kos modal harian sekitar RM300.
Selain pekerja, Rahimah turut dibantu oleh tiga daripada lapan orang anaknya yang terlibat secara langsung dalam pembuatan opok-opok.
Salah seorang daripada mereka, Azlan Mohammad, 68, berkata, dia bekerja dengan Rahimah sejak lima tahun lalu.
“Boleh dikatakan hanya di sini sahaja pengusaha opok-opok yang ada. Ramai yang sudah meninggal dunia,” katanya.-UTUSAN.










