BERAU: Seorang suri rumah di Berau, Kalimantan Timur meninggal dunia ketika beratur untuk membeli minyak masak di sebuah kedai runcit di Teluk Bayur kelmarin.
Lapor Kompas.com, wanita itu dikenali sebagai Sandra, 41, tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurut suaminya, Sandra mempunyai sejarah penyakit asma dan sempat mengeluh sakit dada sebelum pergi kedai runcit berkenaan.
Insiden yang menimpa Sandra mendapat reaksi daripada pelbagai pihak dan mengaitkan situasi semasa, iaitu kekurangan bekalan minyak masak sebagai ‘penyebab kematiannya’.
Penganalisis sosial dari Universiti Islam Negeri Raden Fatah Palembang, Sumatera Selatan, Prof. Dr. Abdullah Idi berkata, demi mendapatkan bekalan minyak masak, penduduk terpaksa beratur panjang, malah tertekan dengan situasi itu.
“Wanita itu mempunyai masalah kesihatan, namun terpaksa juga beratur lama kerana demi mendapatkan minyak masak, jika tidak, maka dia tidak boleh menyediakan makanan untuk keluarganya.
“Sehubungan itu, saya minta kerajaan buka mata dan melihat isu ini secara serius, sampai bila masalah ini akan berlarutan?
“Selain itu, pemeriksaan suhu dan ujian Covid-19 masih perlu dilakukan ketika penduduk beratur mendapatkan minyak masak kerana Covid-19 belum lagi berakhir dan risiko tetap ada,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Teluk Bayur, Kasiyono mengesahkan insiden yang menimpa Sandra dan menyifatkannya sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, suami mangsa, Budianto memberitahu, dia sudah melarang isterinya daripada beratur mendapatkan minyak masak selepas isterinya mengadu sakit dada.
“Tidak lama dia keluar, saya dapat panggilan menyatakan Sandra pengsan dan bergegas ke kedai runcit itu dan isteri saya meninggal ketika perjalanan ke hospital,” ujarnya.