Pak Musa ‘perpustakaan hidup’ Pulau Tioman

Pak Musa ‘perpustakaan hidup’ Pulau Tioman

MUSA Said atau Pak Musa (depan) ketika membawa dan memberi penerangan tentang kepelbagaian hutan Pulau Tioman di Rompin, Pahang kepada pasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Biarpun usianya semakin lanjut menghampiri 60 tahun, Musa Said atau mesra dipanggil Pak Musa masih gagah membawa pengunjung menyusuri hutan tropika di pusat peranginan Pulau Tioman di sini.

Pak Musa malah digelar sebagai ‘perpustakaan hidup’ kerana kepakarannya mengenali burung, mamalia, reptilia, serangga dan amfibia di pulau itu.

Penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak berkata, Pak Musa mampu membezakan suara burung enggang dengan murai batu malah sering meniru bunyi untuk menarik perhatian haiwan tersebut.

Malah katanya, burung tiong emas yang menjadi simbol hutan tropika di Pulau Tioman, sering diperkenal oleh Pak Musa sebagai ‘penyebar benih hutan’ kerana peranannya dalam menyebarkan benih buah hutan di situ.

“Mamalia daripada kera ekor panjang hinggalah ke musang pandan, Pak Musa mengenali tingkah laku haiwan tersebut. Dia sering menekankan kepada pelancong supaya tidak memberi makan kepada kera kerana ia boleh mengubah ekologi dan tingkah laku haiwan itu.

“Begitu juga membabitkan reptilia. Ular sawa batik, ular tedung dan biawak sering dijumpai di hutan. Pak Musa tahu bagaimana untuk mengenal pasti ular berbisa dan bagaimana mengelak gangguan haiwan berbisa.

“Katak hutan, kupu-kupu dan kumbang unik Tioman sering Pak Musa tunjukkan kepada pengunjung sebagai bukti betapa pulau ini kaya dengan spesies kecil yang jarang ditemui di tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Syukor berkata, ilmu Pak Musa bukan hanya biologi tetapi budaya konservasi.

“Setiap haiwan ada cerita rakyatnya, misalnya, enggang dikaitkan dengan keanggunan manakala ular sering dikaitkan dengan kewaspadaan yang menggambarkan sinergi keindahan ciptaan Ilahi.

“Walaupun menjadi pemandu pelancong, Pak Musa tidak melihat alam sebagai sumber keuntungan semata-mata. Dia selalu menekankan prinsip bahawa alam mesti dijaga. Banyak kali beliau menegur pelancong yang cuba memetik bunga hutan atau membuang plastik di denai.

“Pak Musa percaya bahawa ekopelancongan sebenar bukan hanya melihat alam, tetapi menghormatinya.Prinsip ini ringkas tetapi tegas, alam bukan untuk dimiliki, tetapi untuk diwarisi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×