LONDON: Seorang lelaki berusia 31 tahun sanggup menyewa iklan di stesen kereta api demi mencari calon bakal isteri.
Lapor Oddity Central, Jeevan Bhachu sanggup membayar 2,000 pound (RM10,000) bagi dua papan iklan selama dua minggu.
Menerusi iklan itu, dia kelihatan mengenakan sut berwarna merah jambu dengan tertera perkataan ‘Best Indian you’ll takeway’ (lelaki India terbaik anda boleh ambil).
Usahanya membuahkan hasil apabila lebih 50 calon menghubunginya dalam tempoh beberapa hari.
Bhachu memberitahu Evening Standard, dia memilih papan iklan di stesen tersebut kerana lebih mendapat perhatian daripada orang ramai yang menunggu kereta api.
Pada mulanya, pihak pengangkutan awam di London menolak permohonan iklannya kerana didakwa melanggar syarat iklan makanan segera.
“Saya bukan mencari ratusan calon, tetapi hanya mencari seseorang yang istimewa,” katanya.
Papan iklan tersebut turut menyediakan laman sesawang bagi menggalakkan pemohon mengetahui lebih lanjut kriteria yang dicari lelaki itu.
Bhachu meletakkan syarat seperti calon yang merendah diri, mementingkan keluarga, suka berjenaka dan tidak terlalu serius dalam kehidupan.
Sebelum ini, pelbagai cara sudah digunakan lelaki bujang itu menerusi aplikasi cari jodoh.
Namun, dia gagal mencari seorang wanita yang layak dikahwini.