BANGKOK: Seorang lelaki warga Vietnam sanggup mendayung sejauh 2,000 kilometer dari Thailand ke India semata-mata untuk bertemu isterinya.
Bagaimanapun, niat murni itu tidak kesampaian selepas dia ditahan polis marin.
Ho Hoang Hung nekad memulakan perjalanan mencabar itu dari Pulau Phuket menggunakan bot getah dengan hanya membawa bekalan air minuman dan mi segera tanpa sebarang alat bantuan sistem navigasi.
Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Ketiga, Tentera Laut Diraja Thailand memaklumkan Hoang Hung merancang untuk merentasi Teluk Bengal dan Pulau Andaman ketika musim siklon hampir tiba.
“Lelaki berusia 37 tahun itu ditemui sebuah bot nelayan berhampiran Pulau Similan yang terletak kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Thailand yang kemudiannya bertindak menghubungi unit keselamatan maritim tentera laut,” katanya.
Ketika diselamatkan, Hoang Hung memberitahu, dia mahu bertemu isterinya yang bekerja di Mumbai selepas mereka hidup berjauhan selama dua tahun kerana sekatan Covid-19.
Pada 2 Mac lalu, lelaki itu mengambil penerbangan dari Saigon ke Bangkok dan cuba mendapatkan penerbangan ke Mumbai.
Bagaimanapun, rancangannya tidak menjadi kerana dia tidak memiliki visa.
Kemudian, dia memutuskan untuk mendayung dari Phuket ke India, melebihi jarak 2,000km.
Lelaki itu menaiki bas ke pulau peranginan itu dan membeli bot getah di situ.
Difahamkan, dia memulakan perjalanan 5 Mac lalu dan berdepan cabaran angin kencang yang menyukarkan perjalanannya selama dua minggu.
Selepas 18 hari, Hung hanya mampu mendayung 80 kilometer dari pantai.
Hung perlu mengambil masa kira-kira 625 hari untuk sampai ke pantai India menerusi cara tersebut.
Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Tiga, Tentera Laut Diraja Thailand menyiarkan foto lelaki itu dengan keterangan ‘seluas manapun lautan, tidak dapat menghalang cinta sejati lelaki ini’.











