BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel menembak mati seorang remaja Palestin yang didakwa menikam pegawai polis Zionis di Kota Lama Baitulmuqaddis.
Polis Israel dalam kenyataan memaklumkan, remaja berusia 19 tahun itu dilaporkan mendekati beberapa anggota polis yang ditugaskan menjaga pintu Bab Huta sebelum mengeluarkan pisau dan menikam mereka.
Sebagai tindak balas, polis Israel melepaskan tembakan ke arah remaja tersebut dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi pegawai polis turut cedera dalam insiden itu.
Remaja Palestin itu dilaporkan menetap di timur Baitulmuqaddis.
Pintu Bab Huta merupakan laluan yang menuju Masjid al-Aqsa, iaitu tapak ketiga paling suci dalam Islam.
Kawasan itu sering menjadi saksi pertempuran ganas antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Zionis. – AFP