Penduduk Jepun resah tragedi 11 Mac 2011 berulang

Penduduk Jepun resah tragedi 11 Mac 2011 berulang

JALAN yang menghubungkan antara Shinchi IC dan Yamamoto IC di Lebuh Raya Joban, Fukushima retak selepas gempa bumi berlaku. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Penduduk Jepun dilanda kebimbangan sekiranya tragedi tsunami yang berlaku akibat gempa bumi kuat seperti 11 Mac 2011 kembali terjadi.

Hal ini kerana satu gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter menggegarkan sebahagian besar pantai timur laut Jepun di luar Fukushima, semalam.

Gempa itu meragut sekurang-kurangnya empat nyawa dan lebih 100 cedera.

Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian sama ada disebabkan gempa bumi atau sebaliknya. 

Amaran Tsunami untuk gelombang sehingga satu meter di bahagian timur laut Jepun ditarik balik awal pagi semalam, selepas pihak berkuasa merekodkan paras air 0.3 meter lebih tinggi daripada biasa di beberapa kawasan.  

Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 60 kilometer, selepas pukul 11.30 malam dan didahului beberapa minit sebelum itu dengan gegaran 6.1 skala Richter di kawasan sama. 

Seorang pegawai perbandaran di Fukushima, Soma berkata, ketika gegaran berlaku dia berada di tingkat dua rumahnya dan tidak boleh berdiri ketika itu.

“Ada dua gempa bumi besar berlaku, pertama gegaran sangat kuat dan saya sedia berpindah ketika itu. 

“Kemudian, gegaran kedua lebih besar melanda kawasan ini,” katanya. 

Beberapa gegaran kecil melanda wilayah itu hingga pagi semalam.

Situasi itu menimbulkan ketakutan selepas Jepun mengadakan ulang tahun ke-11 gempa bumi terbesar, tsunami dan bencana nuklear di kawasan itu yang meragut 18,500 nyawa. 

Gempa bumi itu menyebabkan kereta api tergelincir, keretakan jalan di lebuh raya dan produk barangan di kedai jatuh bertaburan. 

Menurut Matsuno, pihaknya turut menerima laporan tiada penyelewengan data dalam loji nuklear Fukushima Daiichi, Daini serta Onagawa. 

Pengendali kilang di Fukushima Daiichi, TEPCO berkata, kemudahannya beroperasi seperti biasa sejak semalam. 

Bencana alam itu juga menggegarkan ibu negara dan menyebabkan beberapa kawasan di Tokyo menjadi gelap-gelita.  

Bekalan elektrik terganggu dan menjejaskan dua juta isi rumah di Tokyo selepas gempa bumi sebelum bekalan dipulihkan semula secara berperingkat sepanjang malam. 

Dilaporkan, pagi semalam sebanyak 30,000 kediaman masih terputus bekalan elektrik dengan 4,300 rumah lain tiada bekalan air. 

Dalam pada itu, di bandar Shiroishi, pekerja di sebuah pasar raya membersihkan kerosakan termasuk produk yang terjatuh dari rak dengan sebahagian siling runtuh. 

Pekerja kedai, Yoshinari Kiwaki, 62, berkata, kerja-kerja pemulihan mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan.  

Jelasnya, gegaran itu benar-benar membimbangkan kerana setahun yang lalu, gempa bumi dengan skala sama turut melanda kawasan ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya