KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan dipastikan terus memelihara hak orang Melayu dan bumiputera supaya tidak tergadai meskipun berlaku perubahan kepimpinan serta tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu termasuk cadangan untuk meletakkan akta berkenaan secara jelas di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak istimewa, kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.
Katanya, perkara tersebut akan dipertimbangkan sebelum dibawa ke peringkat kementerian khususnya melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri dijangka pada 25 Mei ini sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Langkah tersebut penting bagi memastikan mandat asal Mara untuk memperkasa pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan keusahawanan bumiputera kekal terpelihara walaupun berlaku pertukaran kerajaan atau kepimpinan negara.
“Dalam akta ini, kita akan pertimbangkan untuk meletakkannya di bawah Perkara 153. Kita akan bawa ke peringkat menteri untuk dibawa ke Jemaah Menteri sebelum diluluskan secara dasar dan dipersetujui sebelum ke Parlimen.
“Pemimpin boleh datang dan pergi, pengerusi boleh datang dan pergi, kerajaan juga boleh berubah, tetapi institusi mesti kekal dan hak Melayu bumiputera tidak boleh digadaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Konsultasi Awam Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung Rang Undang-Undang Majlis Amanah Rakyat 2026 (RUU Mara 2026), hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, aspek tadbir urus akan menjadi antara komponen paling utama dalam pindaan akta tersebut bagi mengelakkan salah guna kuasa, ketirisan serta penyimpangan yang boleh memudaratkan institusi penting Melayu dan bumiputera itu.
Katanya, pindaan berkenaan bukan sekadar melibatkan satu atau dua perkara kecil, sebaliknya kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan perubahan dicadangkan tertumpu kepada pengukuhan aspek tadbir urus.
“Ia bukan pindaan satu dua perkara sahaja. Saya boleh katakan hampir 70 peratus daripada cadangan pindaan terhadap Akta Mara 1966 dalam rangka undang-undang berkait rapat dengan aspek tadbir urus yang baik.
“Ini soal mengelakkan konflik kepentingan. Penemuan paling penting ialah mesti ada akauntabiliti daripada setiap pihak yang membuat dasar dan keputusan,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, beberapa isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk pembelian hartanah di luar negara yang tidak memberi keuntungan menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem tatakelola Mara.
Katanya, kebanyakan kes tidak dibawa ke mahkamah kerana dari sudut proses, tindakan berkenaan masih memenuhi tatakelola yang ditetapkan di bawah Akta Mara sedia ada.
“Namun, kalau kita benarkan perkara ini berterusan, bagaimana mungkin kita dapat menguruskan aset yang besar dengan kelemahan tatakelola?
“Sebab itu, segala aspek tadbir urus ini perlu ditanda aras dengan institusi yang diiktiraf seperti Bank Negara Malaysia. Apa institusi paling ketat kalau bukan Bank Negara?” katanya.
Tambah beliau, aspek tadbir urus yang dicadangkan dalam pindaan akta itu bukan dilaksanakan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berpandukan piawaian dan amalan tadbir urus di peringkat antarabangsa yang diterjemahkan dalam bentuk perundangan
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan Mara sebagai institusi yang menguruskan aset bernilai besar mempunyai sistem semak dan imbang yang kukuh serta bebas daripada risiko penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan. – j








