Generasi muda Melayu jangan lalai

Generasi muda Melayu jangan lalai

GENERASI muda Melayu mesti sedar bahawa mempertahankan kuasa politik bukanlah soal perkauman, tetapi soal kelangsungan bangsa dan agama. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH panjang Nusantara membuktikan bahawa tamadun Melayu pernah menguasai gugusan kepulauan ini selama ribuan tahun, dari Langkasuka, Srivijaya, Melaka hingga ke Johor-Riau.

Namun hari ini, daripada seluruh wilayah besar yang dulunya di bawah pemerintahan raja-raja Melayu, hanya tinggal Semenanjung Tanah Melayu yang masih memiliki kerajaan berdaulat berteraskan kuasa politik Melayu dan Islam sebagai tunjang persekutuan.

Sejarah perubahan ini bermula apabila penjajah British membawa masuk imigran Cina dan India ke Tanah Melayu sekitar awal abad ke-19 untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah. Mereka datang sebagai buruh sementara, tetapi sebahagian besar akhirnya memilih menetap di sini.

Apabila British bersedia memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957, salah satu syarat utama yang dikenakan ialah orang Melayu mesti menerima kaum imigran ini sebagai warganegara. Maka, sebagai balasan kepada pengorbanan besar orang Melayu, Perlembagaan Persekutuan digubal dengan memasukkan Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, di samping mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu sebagai teras negara.

Namun kini, setelah lebih enam dekad merdeka, generasi keturunan imigran bukan sahaja menikmati hak warganegara penuh, malah semakin berani menuntut “hak sama rata” yang bertentangan dengan semangat asal Perlembagaan.

Mereka memperjuangkan agenda sekular dan cuba memadamkan identiti Melayu-Islam daripada dasar negara atas nama keadilan dan kesamarataan.

Ironinya, perjuangan ini sering mendapat sokongan sebahagian anak muda Melayu yang terpedaya dengan slogan liberal tanpa memahami implikasinya terhadap masa depan bangsa sendiri.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengingatkan bahawa “apabila orang Melayu hilang kuasa politik, mereka tidak akan dapatnya semula. Orang lain tidak akan menyerahkan kuasa itu kembali.”

Pesanan ini bukan retorik politik, tetapi amaran berdasarkan pengalaman panjang beliau melihat bagaimana kuasa politik menjadi satu-satunya benteng terakhir bangsa Melayu untuk mempertahankan maruah, bahasa dan agama.

Hakikatnya, dalam bidang ekonomi, kaum bukan Melayu telah jauh mendahului orang Melayu. Sekiranya kuasa politik Melayu pula tergadai, maka keseimbangan negara akan runtuh.

Orang Melayu akan kehilangan suara dalam pentadbiran, dalam dasar pendidikan, bahasa, agama, malah dalam hak keistimewaan yang selama ini menjadi benteng keadilan sosial.

Ketika itu, sejarah pemerintahan Melayu yang berakar sejak zaman Sriwijaya dan Melaka akan berakhir seperti kejatuhan empayar Majapahit, Uthmaniyyah dan Moghul, hanya tinggal kenangan dalam buku sejarah.

Oleh itu, generasi muda Melayu mesti sedar bahawa mempertahankan kuasa politik bukanlah soal perkauman, tetapi soal kelangsungan bangsa dan agama.

Jangan lalai dengan janji manis kesamarataan yang hakikatnya akan memadamkan identiti sendiri.

Kuasa politik adalah tiang terakhir yang mempertahankan maruah bangsa Melayu di bumi warisan nenek moyang kita. Jika tiang itu runtuh, maka runtuhlah segalanya. – UTUSAN

AZMAN MOHD HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN