WUZHOU: Pasukan kecemasan mula mencari kotak hitam kedua milik pesawat China Eastern Airlines yang terhempas pada Isnin lalu.
Seorang pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) mengesahkan kepada media tempatan bahawa kotak hitam pertama yang ditemukan semalam adalah perakam suara kokpit (CVR).
Sehubungan itu, pasukan keselamatan akan mencari perakam data penerbangan (FDR).
Pegawai itu memaklumkan, CVR itu sudah pun dihantar ke Beijing untuk dianalisa.
CVR membolehkan penyiasat memperoleh maklumat komunikasi antara tiga juruterbang dalam pesawat tersebut.
Penerbangan MU5735 terhempas ketika dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou dengan membawa seramai 132 penumpang, termasuk sembilan kru.
CAAC memaklumkan, juruterbang pesawat tersebut disahkan tidak menjawab panggilan menara kawalan secara berulang kali ketika pesawat menurun dengan pantas.
Ketika ini, pihak berkuasa China memaklumkan masih terlalu awal untuk menentukan punca nahas.
Pihak berkuasa China juga tidak mengisytiharkan secara rasmi bahawa kesemua penumpang pesawat itu terkorban, sebaliknya hanya memaklumkan terdapat kematian.