MINSK: Moldova mungkin menjadi sasaran terbaharu Rusia selepas Ukraine diceroboh oleh tentera negara itu pada minggu lalu.
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko dalam satu taklimat seolah-olah memberi petunjuk bahawa tentera Rusia mempunyai perancangan untuk menyerang Moldova.
Lapor Daily Mail, Lukashenko mempengerusikan majlis keselamatan di hadapan sebuah peta yang memperincikan pelan operasi ketenteraan Rusia dari arah selatan Ukraine menuju ke negara Eropah timur itu.
Peta itu juga memaparkan pelan pertempuran tentera Rusia yang dicadangkan di seluruh negara.
Ia memperincikan siri serangan tentera Rusia menuju ke Ukraine yang mana beberapa perkara itu sudah dilaksanakan dalam tempoh beberapa hari sejak pencerobohan.
Siri serangan itu antara lain merangkumi pasukan tentera mara ke Kyiv dari utara dan menuju ke Kherson dari Crimea.
Namun, peta itu juga memaparkan beberapa serangan yang belum berlaku.
Salah satunya membabitkan serangan dari bandar pelabuhan Odessa ke Moldova sekali gus memberi petunjuk Rusia merancang untuk menggerakkan pasukan tenteranya ke negara jiran Ukraine itu.
Peta yang didedahkan oleh Lukashenko terbahagi kepada empat bahagian sejajar dengan wilayah perintah tentera Ukraine.
Ia juga menunjukkan serangan Rusia dari Belarus di sepanjang sempadan timur Ukraine dan dari Crimea.
Pergerakan serampang dua mata kelihatan menyasarkan Kyiv yang mana pasukan tentera ditunjukkan menuju keluar dari Donetsk dan Crimea sebelum bertemu di Melitopol yang sudah ditawan oleh Rusia.
Satu lagi serangan pasukan tentera menuju ke bandar Cherkasy melalui Sumy turut didedahkan.
Timbalan Perdana Menteri, Nicu Popescu mengakui negaranya berada dalam `zon sangat berisiko’ dengan ramai penduduk berasa bimbang dan takut dengan situasi yang sedang berlaku.
Pelarian
Namun, katanya, beliau tidak menjangkakan Moldova akan diceroboh sepertimana berlaku di Ukraine.
Tambahnya, cabaran paling besar dialami Moldova ketika ini adalah menangani isu kemasukan pelarian ke negara itu.
Seorang pegawai tentera Ukraine mengesahkan tentera Belarus menyertai peperangan di wilayah Chernihiv di utara negara itu.
Pegawai itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai maklumat tersebut.
Peta tersebut juga menunjukkan kemudahan tentera Ukraine dan bateri artileri di lokasi dilanda serangan peluru berpandu Rusia pada hari pertama pencerobohan.
Sementara itu, pertempuran sengit dilaporkan berlaku di beberapa bandar di ukraine.
Tentera Rusia mendakwa berjaya menguasai bandar Kherson di selatan Ukraine ketika pencerobohan Moscow ke negara pro-Barat itu memasuki hari ketujuh.
“Tentera Rusia sudah menawan bandar Kherson di bawah kawalan penuh,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov.
Gabenor wilayah, Oleg Synegubov berkata, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 112 cedera akibat serangan dalam tempoh 24 jam lalu.