GENEVA: Ketika banyak negara sudah melepasi kemuncak penularan Omicron, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak melihat perkara itu sebagai satu ‘keadaan yang meredakan’.
Sebaliknya, badan kesihatan antarabangsa itu menegaskan pandemik Covid-19 mengambil masa lama lagi untuk berakhir sepenuhnya.
Agensi antarabangsa itu menggunakan istilah tersebut selepas dua tahun untuk menyedarkan dunia mengenai ancaman Covid-19 yang semakin meningkat.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pertama kali mengiktiraf Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020.
Dua tahun kemudian, beliau kecewa kes jangkitan virus itu masih berkembang dan meningkat di sebahagian besar negara.
WHO mengisytiharkan darurat kesihatan awam dengan tahap kebimbangan antarabangsa pada 30 Januari 2020 apabila kurang daripada 100 kes jangkitan dan tiada kematian direkodkan di luar China.
Namun, selepas enam minggu penggunaan istilah pandemik, lebih banyak negara bertindak untuk mengambil langkah pencegahan.
“Dua tahun kemudian, lebih enam juta orang meninggal dunia manakala hampir 444 juta kes didaftarkan.
“Walaupun kes dan kematian dilaporkan masih berkurangan di peringkat global dan beberapa negara menarik balik sekatan, pandemik itu masih jauh dari berakhir.
“Ia tidak akan berakhir di mana-mana negara sehingga berakhir di semua tempat,” katanya dalam sidang akhbar.
Sebelum ini, semakin banyak negara mula melonggarkan sekatan Covid-19 dengan kebanyakannya menyatakan program vaksinasi yang dijalankan berkesan menurunkan kes jangkitan dan sudah tiba masanya untuk hidup dalam fasa endemik. – AFP










