BANGKOK: Sekurang-kurangnya lapan penumpang maut dan lebih 20 cedera apabila sebuah bas dua tingkat melanggar tiang konkrit bahagian atas jambatan, dalam satu kejadian di wilayah Saraburi kelmarin.
Sebanyak 32 penumpang menaiki bas tersebut yang dikendalikan oleh syarikat pengangkutan milik negara.
Media tempatan melaporkan, lima penumpang maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia di hospital.
Menerusi rakaman kamera perakam video (dashcam) pada bas berkenaan menunjukkan kenderaan itu dipandu laju sehingga hilang kawalan lalu merempuh tiang jambatan tersebut.
Kesan perlanggaran itu menyebabkan bumbung bas tercabut dan bertaburan atas jalan, selain para penumpang tersekat di tempat duduk mereka.
Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari daerah Suwannaphum ke Bangkok.
Pihak berkuasa memaklumkan, siasatan awal mendapati bas itu hanya dipandu pada kelajuan 80 kilometer sejam sebelum perlanggaran berlaku.
Sehubungan itu, polis mengesyaki pemandu bas berkenaan mungkin menukar laluan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan perlanggaran.
Pemandu bas yang terselamat dalam kemalangan itu bakal dikenakan denda dan lesennya ditarik mengikut keputusan mahkamah.