JAKARTA: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan kepulauan Sumtera hari ini, menyebabkan penduduk lari bertempiaran.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan infrastruktur mahupun kecederaan melibatkan penduduk.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 4.06 pagi waktu tempatan pada kedalaman 21 kilometer dan berpusat 167 kilometer ke barat bandar Pariaman.
Badan Nasional Tindakan Bencana (BNPB) menerusi kenyataan memaklumkan, gegaran gempa itu dirasakan selama seminit menyebabkan penduduk panik dan lari menyelamatkan diri.
“Sejumlah gempa susulan juga berlaku selepas itu,” jelas kenyataan tersebut.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada mulanya memaklumkan gempa tersebut berpotensi mencetuskan tsunami, namun menarik balik amaran berkenaan berikutan keadaan stabil.
Ketua Mencari dan Menyelamat Nias, Agus Wibisono berkata, laporan terkini tidak merekodkan kerosakan atau kecederaan, namun pemeriksaan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.
Katanya, selepas amaran tsunami ditarik balik, penduduk berasa lebih tenang.
Dalam perkembangan berkaitan, Filipina juga dilanda gempa bumi awal pagi ini di pulau Luzon.
Gempa bumi berukuran 6.4 Richter itu menyebabkan bangunan di Manila bergegar, namun tiada kerosakan mahupun ancaman tsunami dilaporkan.
Gempa bumi itu berpusat kira-kira 110 kilometer di luar Morong di wilayah Bataan di pulau Luzon pada pukul 5.05 pagi waktu tempatan.
Gempa bumi pada kedalaman sederhana berpotensi menyebabkan kerosakan besar, namun pihak berkuasa Filipina memaklumkan, keadaan itu dijangka tidak berlaku.
Ketua Polis Morong, Michelle Gaziola berkata, gempa itu kuat, namun ‘terkawal’. – AFP
“Gempa itu berlaku ketika semua penduduk sedang tidur dan situasi terkawal ketika ini,” katanya.
– AFP