BEIJING: Selepas beberapa kali didesak negara Barat supaya mengecam serangan Rusia terhadap Ukraine, China akhirnya mengakui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ‘punca segala masalah’ yang berlaku antara Moscow dan Kyiv.
China sebelum ini menolak menyifatkan serangan Rusia di Ukraine sebagai peperangan, sebaliknya meminta kedua-dua negara mencapai kata putus menerusi rundingan yang kukuh.
Hal ini kerana, Beijing merupakan sekutu utama Moscow dan China seboleh-bolehnya enggan merosakkan hubungan baiknya dengan Rusia.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu China ini menunjukkan sebenarnya Beijing menyokong peperangan yang berlaku di Ukraine adalah disebabkan oleh NATO.
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, pendirian China mengenai peperangan yang berlaku adalah ‘jelas dan konsisten’.
Namun, apabila ditanya adakah China sudah bersedia melabelkan pencerobohan Rusia sebagai peperangan, Lijan menjawab ‘saya tidak rasa soalan itu perlu dijawab’.
Lijian juga mendesak Amerika Syarikat (AS) ‘menilai semula semua sekatan yang dikenakan terhadap Rusia’ kerana menganggap langkah berkenaan tidak akan menamatkan peperangan yang tercetus.
“Sekatan terhadap pelbagai sektor Rusia tidak akan meredakan konflik yang berlaku, sebaliknya menjejaskan ekonomi banyak negara lain.
“China dan Rusia akan meneruskan apa yang kami persetujui sebelum ini seperti biasa,” katanya.
Pada masa yang sama, China juga bersetuju menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine berjumlah lima juta yuan (RM3.3 juta).
Terdahulu, China menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Ukraine dan Rusia.
Selain itu, beberapa negara lain turut ‘berharap’ Biejing dapat memujuk Moscow supaya menghentikan serangan di Ukraine. – REUTERS