BEIJING: Ketika konflik Rusia dan Ukraine terus berlanjutan, China pula giat mengadakan latihan ketenteraan selama lebih seminggu di Laut China Selatan.
Latihan ketenteraan itu melibatkan kawasan antara selatan wilayah Hainan dan Vietnam.
Sehubungan itu, kerajaan China memberi amaran kepada semua kapal supaya menjauhi kawasan terbabit bagi mengelak insiden tidak diingini.
Menerusi satu kenyataan, Pentadbiran Keselamatan Maritim Hainan memaklumkan latihan ketenteraan itu berlangsung sejak Jumaat lalu sehingga 15 Mac ini.
Pentadbiran itu juga mengeluarkan koordinat kawasan yang terlibat antara Sanya dan bandar Hue di Vietnam.
Sanya merupakan pangkalan tentera laut utama China.
“Kapal-kapal tidak dibenarkan melalui kawasan tersebut bagi mengelak insiden tidak diingini,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, sebahagian daripada kawasan latihan ketenteraan itu berada dalam zon ekonomi eksklusif Vietnam dan Hanoi sebelum ini mengkritik keras tindakan China yang disifatkan melanggar kedaulatan negara itu.
Pada 2014, ketegangan antara Vietnam dan China memuncak apabila syarikat pelantar minyak China mula menggali di perairan Vietnam.
Insiden itu turut menyebabkan insiden pelanggaran bot oleh kedua-dua pihak dan rusuhan anti-China di Vietnam.
Selain Vietnam, China juga mempunyai hubungan tegang dengan Filipina berhubung isu Laut China Selatan.
Sejak kebelakangan ini, China semakin giat melakukan latihan ketenteraan di Laut China Selatan.
Pertikaian wilayah laut tersebut turut dituntut oleh beberapa negara termasuk Vietnam, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Brunei. – REUTERS