MOSCOW: Australia bakal mengeluarkan visa sementara kepada pelarian Ukraine yang boleh membenarkan mereka bekerja dan belajar di negara itu selama tiga tahun.
Lapor Sputnik, pengeluaran visa itu bagi membantu rakyat Ukraine yang terpaksa melarikan diri selepas Rusia menyerang negara itu pada 24 Februari lalu.
“Visa itu sah selama tiga tahun dan membenarkan pelarian Ukraine untuk bekerja, belajar dan menggunakan akses kesihatan di Australia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Australia hari ini.
Menerusi kenyataan sama, kerajaan Australia memaklumkan, negara itu sudah mengeluarkan hampir 4,500 visa semantara kepada penduduk Ukraine.
“Lebih 600 penduduk Ukraine dengan visa ini sudah tiba dan lebih ramai dijangka akan masuk ke negara ini setiap hari.
“Kerajaan Australia juga akan terus bekerjasama dengan komuniti Ukraine-Australia bagi memastikan pelarian yang tiba diberi sokongan sepanjang tinggal di negara ini,” jelas kenyataan tersebut.










