JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi menarik balik semua sekatan Covid-19 semalam, termasuk penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka.
Lapor Saudi Gazette, langkah itu juga menyaksikan penjarakan sosial di Masjidilharam dan Majis Nabawi dihentikan, namun para pengunjung masih perlu memakai pelitup muka, terutamanya di kawasan tertutup.
Keputusan itu diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan berkuatkuasa semalam.
Selain itu, para pelancong yang tiba ke negara ini tidak perlu menjalani kuarantin serta melakukan ujian calitan Covid-19 semasa ketibaan.
Arab Saudi turut menarik balik larangan penerbangan ke beberapa negara Afrika susulan penemuan varian Omicron sebelum ini.