Arab Saudi hukum mati 81 pesalah dalam tempoh 24 jam - Utusan Malaysia

Arab Saudi hukum mati 81 pesalah dalam tempoh 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menjalankan hukuman mati terhadap 81 pesalah dalam tempoh 24 jam, termasuk tujuh warga Yaman dan seorang rakyat Syria yang didapati bersalah kerana terlibat dalam kegiatan keganasan antarabangsa.

Lapor agensi berita Saudi Press, hukuman itu melibatkan jumlah pesalah paling ramai dalam sejarah negara ini.

Pada 2021, seramai 67 pesalah dihukum mati dan 27 orang pada 2020, namun kesemuanya tidak dijalankan dalam tempoh 24 jam.

“Kesemua pesalah itu berdepan dengan pelbagai pendakwaan jenayah termasuk membunuh wanita dan kanak-kanak.

“Mereka (pesalah) juga terlibat dengan kegiatan Daesh, al-Qaeda dan Houthi,” menurut laporan agensi berita itu yang memetik kenyataan dari Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Laporan itu juga menjelaskan, kesemua pesalah diberi hak mendapatkan peguam dan menjalani proses perbicaraan yang adil sebelum hukuman ditetapkan.

Selain itu, Arab Saudi komited untuk terus mengenakan hukuman berat terhadap pesalah keganasan yang boleh mengancam kestabilan dan keselamatan negara ini.

Jumlah pesalah itu termasuk 37 rakyat negara ini yang terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk cubaan membunuh pegawai keselamatan dan serangan menyasarkan balai polis serta konvoi pihak berkuasa.

Kali terakhir Arab Saudi melaksanakan hukuman mati secara besar-besaran dalam tempoh 24 jam adalah pada Januari 2016, melibatkan 47 pesalah.

Pada 2019, negara ini menjatuhkan hukuman mati terhadap 37 rakyat kerana disabit kesalahan keganasan.

Rekod hak asasi manusia negara ini berdepan dengan tekanan dan kritikan oleh Barat sejak kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

Sementara itu, Arab Saudi menafikan mereka mencabul hak asasi manusia dan menegaskan hukuman terhadap pesalah mengikut undang-undang ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya