Cadangan AFC wajar dipertimbangkan

Cadangan AFC wajar dipertimbangkan

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2026 di Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully menyambut baik cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mencadangkan agar skuad Harimau Malaya dikembalikan semula di bawah pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Cadangan itu turut dikaitkan dengan usaha penambahbaikan struktur bola sepak negara menerusi draf statut baharu AFC yang mengandungi sebanyak 94 artikel, seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, kelmarin.

Menurut Richard, cadangan yang dikemukakan oleh AFC itu wajar diberi perhatian serius oleh barisan Exco FAM yang baharu, namun ia bukan satu bentuk paksaan daripada badan induk bola sepak Asia berkenaan.

“AFC memberi cadangan terhadap beberapa isu penting untuk diketengahkan dan individu yang bertanggungjawab yang memuktamadkannya adalah Exco FAM yang baharu.

“Itu cadangan dan bukan paksaan. Terpulang kepada Exco baharu untuk menerimanya atau tidak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengembalikan semula jenama Harimau Malaya merupakan antara agenda yang diketengahkan AFC dan dianggap relevan dalam usaha memperkemaskan struktur bola sepak negara.

“Seeloknya apa yang dicadangkan oleh AFC itu diterima. Kalau tidak mahu ikut pun tidak mengapa, tetapi Exco FAM yang baharu kena ada cadangan yang relevan.

“AFC nak bantu, bukan nak susahkan FAM. Jadi sepatutnya Exco FAM yang baharu nanti mengangkat apa yang dicadangkan oleh AFC dalam proses memurnikan bola sepak negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, ketika ini semua pihak wajar memberi ruang kepada Exco FAM yang baharu untuk menilai serta membuat keputusan terbaik demi masa depan bola sepak negara.

“Buat masa sekarang, kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan oleh Exco FAM yang baharu nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN