MEDAN: Seramai 26 penumpang yang dilaporkan hilang selepas bot nelayan yang membawa pendatang asing tanpa izin karam di luar pantai Indonesia ditemukan terselamat selepas hanyut dua hari.
Dua daripada 86 penumpat bot tersebut maut selepas ia terbalik dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan ke Malaysia.
Menurut jurucakap Pangkalan Tentera Laut Belawan di Sumatera, Rully Ramadhiansya, jumlah mangsa terselamat itu termasuk kapten dan tiga anak kapal.
“Penumpang yang terselamat berpaut pada pelampung, tong air dan beberapa objek lain sepanjang hanyut di lautan selama dua hari.
“Ada juga mangsa yang diselamatkan oleh bot nelayan lain,” katanya.
Bot kayu itu karam di luar wilayah Sumatera Utara berhampiran kawasan pantai Tanjung Api ketika ia cuba belayar melalui laluan tanpa kawalan ke Malaysia.
Bot itu dilaporkan mengalami kebocoran sejurus selepas berlepas, sebelum dilanda ombak kuat dan terbalik. – AFP