GARUT: Seorang ibu hamil di Garut, Jawa Barat mengidam untuk menaiki motosikal polis.
Bagi memenuhi keinginannya, ibu muda itu sanggup datang ke balai polis Garut di Kadungora, baru-baru ini.
Jurucakap unit polis trafik Garut, Kanit Turjawali berkata, seorang wanita hamil datang ke balai polis dan bertanya jika dia boleh membonceng motosikal yang digunakan polis trafik untuk membuat rondaan.
“Wanita itu memaklumkan dia hamil dan begitu teringin untuk menaiki motosikal polis.
“Kebetulan, ketika itu ada seorang anggota polis trafik sedang bersiap siaga untuk bertugas dan kami membenarkannya untuk menaiki motosikal tersebut,” katanya.
Wanita itu kemudiannya membonceng motosikal itu dan dibawa berjalan-jalan di sekitar kawasan balai polis tersebut.
Selepas selesai, wanita itu mengucapkan terima kasih kepada anggota polis di balai tersebut kerana sudi melayan karenahnya.