JAKARTA: Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di Indonesia kembali merekodkan peningkatan dan sepanjang minggu ini, sebanyak 212 kes dicatatkan berbanding minggu lalu iaitu 79 kes.
Peningkatan itu berlaku ketika Indonesia berdepan dengan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan varian Omicron.
Pesakit yang dijangkiti dengan varian yang dikesan buat pertama kali di Afrika Selatan itu kebanyakannya mengalami gejala ringan berbanding varian Delta yang menyebabkan komplikasi serius.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi berkata, peningkatan kes kematian itu melibatkan golongan komorbid dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Golongan komorbid cenderung untuk meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 dan keadaan itu secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian di Indonesia,” katanya kepada CNN Indonesia.
Dalam pada itu, bekas Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Asia Tenggara, Tjandra Yoga Aditama menganggarkan jumlah kematian akibat Covid-19 di Indonesia ketika ini meningkat 10 kali ganda lebih tinggi berbanding situasi sebelum ini.
Katanya, pihak berkuasa kesihatan perlu menilai dua aspek utama iaitu jumlah sebenar individu yang dijangkiti Omicron dan penyebab utama kematian.