WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya sendiri selepas mengumumkan sekatan baharu Covid-19 bagi memerangi penularan varian Omicron.
Memetik laporan BBC, seluruh New Zealand akan diletakkan di bawah sekatan Covid-19 paling ketat selepas sembilan kes varian Omicron dikesan di negara itu.
Sekatan baharu itu termasuk mengehadkan 100 individu lengkap divaksin dalam sesebuah acara serta memakai pelitup muka di kedai dan dalam pengangkutan awam.
Ardern mengesahkan perkahwinannya dengan pengacara televisyen, Clarke Gayford tidak akan diteruskan.
“Saya mengikut jejak langkah ramai warga New Zealand lain yang pernah mengalami pengalaman seperti itu akibat wabak ini.
“Mana-mana individu yang terperangkap dalam senario itu, saya meminta maaf,” katanya.
Sembilan kes varian Omicron itu dikesan dalam sebuah keluarga yang mengembara antara bandar untuk menghadiri majlis perkahwinan dan jangkitan membabitkan seorang pramugari di pesawat yang mereka naiki.
Keadaan itu memaksa New Zealand melaksanakan sekatan amaran merah bermula tengah malam ini. – AGENSI/AFP










