FAM jumpa KDN, mohon maaf isu tujuh pemain warisan - Utusan Malaysia

FAM jumpa KDN, mohon maaf isu tujuh pemain warisan

Ab Ghani Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak negara susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan maaf itu dibuat bagi pihak FAM termasuk seluruh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu yang kini menerajui badan induk bola sepak negara.

“Saya mewakili kesemua Jawatankuasa Eksekutif FAM yang ada pada hari ini memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ab Ghani berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat keenam Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, semalam.

Dalam masa yang sama, Ab Ghani memberi komitmen bahawa isu seumpama itu (pemalsuan dokumen pemain) tidak akan dibiarkan berulang sepanjang tempoh beliau menerajui FAM bagi baki penggal 2025 hingga 2029.

Katanya, FAM perlu memastikan setiap urusan berkaitan dokumentasi dan pemain yang mewakili skuad kebangsaan dilaksanakan dengan lebih teliti, selain mematuhi segala prosedur serta peraturan yang ditetapkan.

“Justeru itu, saya memberikan komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, perkara isu seumpama ini tidak akan dibiarkan berulang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, antara perkara yang kini menjadi perhatian adalah status pasport tujuh pemain warisan terbabit, susulan isu yang mencetuskan perhatian besar dalam arena bola sepak negara.

Beliau berkata, FAM akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara itu bagi memastikan kedudukan sebenar tujuh pemain berkenaan dapat dikenal pasti.

“Berhubung dengan status pasport tujuh pemain warisan berkenaan, saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.

Ab Ghani menjelaskan perkara berkaitan kewarganegaraan serta pengeluaran pasport bukan berada di bawah bidang kuasa FAM, justeru kerjasama dengan KDN amat diperlukan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM. Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan kerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Isu tujuh pemain warisan itu sebelum ini menjadi perhatian susulan persoalan berkaitan dokumentasi yang digunakan bagi membolehkan mereka mewakili skuad Harimau Malaya, sekali gus memberi kesan terhadap imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×