ISLAMABAD: Pakistan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kesilapan yang berlaku sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 21 pelancong maut dalam kejadian ribut salji di kawasan berbukit di Murree.
Lapor Al Jazeera, jurucakap kerajaan negeri, Azhar Mashwani berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada lima anggota itu akan melengkapkan siasatan tersebut dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam masa tujuh hari.
“Siasatan tersebut antara lain merangkumi sama ada amaran cuaca buruk dikeluarkan dan disebarkan dengan secukupnya, terdapat mekanisme mengawal aliran trafik ke bandar peranginan pelancongan popular itu.
“Selain itu, jawatankuasa tersebut juga akan menyiasat mengapa kenderaan tidak dihentikan sebaik sahaja jumlah pelancong menjadi semakin banyak,” menurut dokumen dari kerajaan.
Berdasarkan data kerajaan, lebih 157,000 kenderaan yang majoritinya milik pelancong memasuki Murree antara Jumaat dan Sabtu lalu ketika salji lebat mula melanda negara itu.
Stesen bukit itu yang merupakan destinasi pelancongan popular, terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Islamabad dan menarik puluhan ribu pengunjung ke kawasan itu setiap tahun.
Jumaat lalu, sejumlah kenderaan yang memasuki kawasan itu terkandas disebabkan salji tebal di jalan raya di bandar tersebut.
Pegawai penyelamat berkata, sekurang-kurangnya 21 orang meninggal dunia semalaman apabila mereka tidak mendapat makanan atau rawatan perubatan. – AGENSI










